Masalah Anda :
SAYA menggunakan skuter Suzuki VS150. Saya ingin memastikan adakah benar setiap pagi perlu menggunakan penendang berbanding penghidup elektrik untuk menjaga jangka hayat bateri?
Skuter dijaga baik mudah hidup dengan menggunakan penghidup elektrik dan enjin mampu mengecas bateri kembali dalam jangka waktu singkat selepas enjin dihidupkan.
Ini kerana sistem elektrik motosikal anda mampu mengekalkan cas elektrik dalam bateri. Walaupun begitu, amalan menghidupkan skuter dengan penghidup tendang satu amalan baik.
Di pagi hari, enjin lazimnya sejuk selepas direhatkan semalaman dan cas bateri lazimnya menurun sedikit.
Bebanan pada bateri meningkat pada waktu pagi dan lazimnya kita harus memberi bantuan untuk penghidupan enjin dengan menggunakan pencekik (choke).
Ini untuk membantu enjin hidup dengan secepat mungkin supaya bateri dapat dicas semula. Tetapi apa yang lebih penting ialah amalan ini dapat memanjangkan hayat enjin dan bukannya semata-mata kerana bateri.
Enjin yang direhatkan lazimnya menyebabkan penurunan minyak pelincir dari bahagian atas enjin ke dalam takungan minyak yang berada di bawah.
Malahan, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebahagian besar faktor kehausan enjin berlaku apabila ia dihidupkan awal pagi kerana kurangnya perlindungan minyak pelincir.
Ini dapat kita minimakan dengan menggunakan penghidup tendang secara berhemah iaitu dengan memutarkan enjin dengan kadar perlahan dahulu pada awal pagi bagi membantu sistem pelinciran untuk menyampaikan minyak pelincir ke semua bahagian enjin sebelum menghidupkannya secara normal sama ada menggunakan penghidup tendang mahupun penghidup elektrik.
Lazimnya bateri berkualiti tahan selama tiga tahun sebelum perlu ditukar. Pastikan aras elektrolit sentiasa berada di tahap optima untuk memastikan ketahanan bateri anda.
Ada juga bateri kini yang digelar bateri tanpa penjagaan yang tidak lagi perlu diperiksa tahap elektrolitnya.
Namun, ia agak mahal berbanding bateri basah biasa. Motor penghidup yang bergerak perlahan mungkin disebabkan keadaan bateri kurang baik dan lemah yang mungkin berpunca dari keadaan bateri itu sendiri ataupun pengecas kurang baik menyebabkan bateri tidak cukup dicas.
Ini mungkin disebabkan keadaan karbon motor penghidup kurang baik. Kadangkala masalah yang dihadapi dengan jentera kita hanyalah disebabkan perkara kecil saja yang mampu dikesan mekanik berpengalaman.
0 comments:
Post a Comment