Masalah Anda :
BARU-BARU ini saya menukar sistem ekzos motosikal kepada ekzos untuk perlumbaan. Saya menghadapi masalah selepas itu apabila motosikal saya tidak lancar, sering semput dan tidak lawas.
Saya menukar dan mencuba beberapa jet pilot dan jet minyak tapi masih mempunyai masalah sama. Saya menggunakan blok asal yang belum diubahsuai. Sproket 38 belakang dan 14 depan.
Kini saya menggunakan jet pilot yang mempunyai cc 130 dan jet minyak cc 140. Masalah yang sama masih timbul.
Adakah perkara ini disebabkan jet terbabit atau ada pengubahsuaian lain yang perlu saya lakukan? Adakah lebih baik jika saya menggunakan karburetor RXZ atau TZM?
Untuk pengetahuan tuan, saya baru berjinak-jinak untuk menceburi sukan pecut motosikal yang sering dianjurkan di tempat saya. Tetapi, saya terpaksa melakukan pengubahsuaian sendiri memandangkan saya belum mempunyai penaja.
Pengubahsuaian enjin untuk perlumbaan sebenarnya memerlukan keserasian yang menyeluruh dan tidak dikhususkan kepada satu satu bahagian komponen saja.
Ekzos lumba adalah agak lawas dan sesuai digunakan bagi rpm tinggi. Tidak pula saudara jelaskan jenis motosikal yang dipakai, tetapi berdasarkan cadangan penggunaan karburetor RXZ dan TZM, mungkin saudara menggunakan jentera dua lejang.
Penukaran lelidah injap (reed-valve) yang lebih baik seperti Boyesen mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah anda. Perlu difahami, bagi satu komponen lumba seperti ekzos anda, ia sudah dibina untuk memberi prestasi yang baik bagi nisbah mampatan ataupun rpm tertentu serta kadar kemasukan bahan api mencukupi.
Mungkin juga masalah anda berada pada kotak udara yang kurang sesuai. Cuba timba lebih pengalaman daripada rakan atau mekanik kenalan anda. Tidak salah mencuba sendiri, malahan ia akan memberikan anda pengalaman yang memuaskan.
Cuma kadangkala ia mengambil masa yang agak panjang untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
0 comments:
Post a Comment